Friday, 8 November 2013

Hello Korea! Part 3


السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته

15 Oktober 2013


Hari ini adalah Hari Raya Aidil Adha, mama rasa macam tidak percaya  menyambut Aidil Adha di Seoul. Inilah masalah orang yang berpencen, masa booking tiket tak semak pun hari cuti Am di Malaysia. Yang seronoknya sempatlah juga mama menyediakan juadah nasi impit goreng dengan rendang daging. Kami keluar awal untuk menunaikan Solat Aidil  Adha di Seoul Central Mosque atau lebih dikenali sebagai Masjid Itaewon kerana terletak di daerah Itaewon. Semasa berkursus dahulu mama tidak sempat bersolat di sini, hanya peserta lelaki sahaja yang pergi ke sini untuk menunaikan solat Jumaat. Masjid ini merupakan masjid terbesar yang ada di Seoul dan telah dibuka pada tahun 1976. Semasa mama sampai, masjid ini dah dipenuhi dengan jemaah dan kami dapati ramai pelajar-pelajar Malaysia serta Indonesia bersolat di sini. Terdapat juga keluarga seperti mama yang sama-sama solat di masjid ini. Tempat solat untuk wanita di tingkat atas sekali.

Selesai bersolat, kami menyusuri jalan di Itaewon ni dan di sepanjang jalan turun dari masjid memang banyak terdapat kedai-kedai makan peniaga India muslim, Pakistan, Indonesia, Arab dan Turki yang menjual makan halal seperti Restoran Siti Sarah, Restoran Moghul, Restoran Murree dan lain-lain. Terdapat juga supermarket yang menjual barangan halal. Sempatlah mama membeli roti dan anak-anak membeli baklava yang memang menjadi kegemaran mereka. Kalau anda ke sini, singgahlah di Salam Bakery. Mereka ada menjual pelbagai perisa baklava yang dikira mengikut berat. Memang sedap sebab anak mama memang peminat baklava dan antara kelainan yang terdapat di Salam Bakery ialah mereka menjual baklava perisa coklat yang sememangnya sedap dan unik. Bagi anda yang tidak pernah merasa baklava, baklava merupakan manisan dari Turki dan amat manis.

Pintu masuk ke Masjid Itaewon

Masjid Itaewon

Lorong menuju ke masjid

Restoran Halal Moghul di Itaewon

Restoran Murree


Turkey in Korea?

Deretan kedai di Itaewon

Kami sekeluarga menaiki subway untuk mencari kemeja serta t-shirt dan barang-barang souvenir di Pyounghwa Clothing Market di Dongdaemun. Walau pun demikian, kami hanyalah mencuci mata melihat hampir kesemua kedai menjual baju-baju tebal yang dijual untuk musim sejuk. Selain di Pyounghwa Clothing Market, terdapat Dongdaemun Clothing Market yang turut menjual pelbagai pakaian dan fabrik seperti bedsheets dan langsir. Di Dongdaemun juga ada deretan underground shopping centre yang menjual pelbagai jenis barangan termasuk aksesori dan barangan cenderahati. Kami tidak lama di Dongdaemun kerana cuaca yang begitu sejuk. Walaupun hari hujan, hujannya tidaklah selebat di Malaysia tetapi rata-rata mereka akan membawa payung ke mana sahaja. Hanya kami yang memakai pashmina untuk menutup kepala. Itulah kelebihan wanita bertudung. Mama sempat membeli cadar untuk dibawa pulang ke Malaysia. Cadarnya berkualiti dan di sini juga terdapat banyak pilihan.

Pyounghwa Clothing Market di Dongdaemun 

Dongdaemun Market

Kami teruskan perjalanan ke Namdaemun lagi sekali untuk mencari bangunan E-Lengdang yang famous terutama kepada pelancong Malaysia yang suka bershopping. Ramai menyarankan untuk pergi ke sini jika hendak membeli barangan secara pukal pada harga yang murah. Bangunannya terdiri daripada 4 tingkat di mana di setiap aras menjual barangan yang berlainan. Kebanyakan aksesori seperti rantai dan cincin banyak dijual di tingkat 1 manakala brooch di tingkat 2. Ketika di sini, memang rambang mata hendak memilih brooch yang berkenan di hati dan berbaloi dengan harga yang ditawarkan. Kedai yang menjual brooch agak tersorok dan jauh ke dalam sedikit. Jangan membeli di gerai hadapan kerana harganya agak mahal dan sukar untuk menawar. Disebabkan terlalu seronok membeli, mama tidak perasaan ada brooch yang kecil dan sederhana dijual dengan harga yang sama, dah sampai di rumah rasa menyesal pula terbeli banyak yang kecil. Oleh kerana dua bangunan ini bersambung, bangunan berwarna hijau menjual barangan secara pukal dan bangunan oren menjual barangan untuk kegunaan persendirian. Kami banyak membeli souvenir di bangunan oren kerana terdapat banyak pilihan dan juga senang untuk meminta discount. Jika anda membeli barangan di bangunan hijau, anda tidak dibenarkan untuk membeli hanya satu barangan tetapi hendaklah mengambil banyak secara pukal bagi tujuan menjual. 

E-Lengdang di Namdaemun Market

Namdaemun Market

E World atau E Lengdang

Antara koleksi brooch yang dibeli

Jika anda menaiki subway atau Seoul City Tour Bus, carilah Gate 6 Namdaemun Market kerana bangunan E World ini terletak berdekatan dengan Gate 6. Jangan risau jika anda tak jumpa, tanya sahaja mereka bangunan E World atau E Lengdang. Disebabkan Namdaemun Market ini agak luas, memang senang untuk anda sesat sambil mencuci mata dengan barangan yang terdapat di sepanjang Namdaemun street ini.

Nak senang cari E Lengdang, sila cari Gate 6 Namdaemun Market

Selesai bershopping di Namdaemun, kami segera balik ke apartment untuk berehat. Tak larat nak mengangkut barang belian ke sana sini dengan menaiki subway. Inilah kali pertama kami balik awal ke apartment. Sempatlah juga untuk melihat pemandangan senja dan matahari terbenam di Korea. Suhu ketika ini sudah semakin sejuk dan nyaman.

Pemandangan dari apartment di waktu senja

Pemandangan senja


SubhanAllah, cantik kan pemandangan senja di sini? Bersambung di entry seterusnya..


No comments:

Post a Comment

Review: Adina Apartment Hotel Melbourne

Assalamualaikum! Just a short and simple review after long silence. Cleanliness: Since we took an apartment with kitchen facilit...