Saturday, 1 June 2013

Istanbul Kami Datang: Part 1

السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
"Hai manusia, sesungguhnya Kami menjadikan kamu dari seorang laki-laki dan wanita, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya saling mengenal. Sesungguhnya orang mulia di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Mengenal."
Surah Al-Hujuraat, 49 (13)


Bertemu semula di perkongsian pengalaman mama, seperti tajuk yang dipaparkan Istanbul Kami Datang, tetapi kali ini hanya berdua sahaja dengan husband tanpa ditemani oleh anak-anak sempena menyambut ulang tahun perkahwinan kami yang menjangkau 30 tahun.   Pemergian kali ini tidak mengambil mana-mana pakej, cuma mama booking satu hari lawatan dengan Karavan Travel di Istanbul melalui internet untuk tempat-tempat yang sukar dilawati dengan pengangkutan awam. Memandangkan mama telah menceritakan pengalaman hampir keseluruhan bandar di Turki di entri yang lepas, kali ini mama akan berkongsi pengalaman di Istanbul saja. Memandangkan lawatan kami ke Turki hanya enam hari sahaja maka kami tidak memerlukan Visa. Jika anda hendak melancong ke Turki tidak melebihi tempoh 90 hari atau 3 bulan, anda tidak memerlukan visa untuk ke sana.

21 Mei 2013

Jam 8.30 malam mama bertolak dari rumah dengan dihantar oleh anak-anak ke KLIA kerana penerbangan ke Istanbul pada jam 00.30 pagi. Sedih juga hati kami kerana berpisah dengan anak-anak kerana selalunya kami pergi sekeluarga tetapi anak-anak semuanya sporting untuk memberi peluang kepada kami kali ini. Mama ke Istanbul dengan menaiki MAS kerana offer yang diberi kepada pemegang Enrich Card untuk menukar point yang terkumpul dengan perjalanan percuma, cuma hanya perlu membayar airport tax sahaja. Memandangkan point yang terkumpul melayakkan mama untuk bercuti ke Istanbul, kami tak lepaskan peluang untuk mengunjungi Istanbul semula. Untuk menyemak mata ganjaran terkumpul bolehlah melayari ENRICH. Di kaunter semasa check-in kami ditawarkan oleh petugas untuk bertukar flight dari MAS ke flight Emirates, transit di Dubai seterusnya menaiki Turkish Airlines ke Istanbul dan dikembalikan semula RM900.00 seorang. Memandangkan kami telah mengambil perkhidmatan transport dari Airport ke Hotel, kami menolak tawaran tersebut walaupun ditawarkan beberapa kali. Penerbangan kali ini mengambil masa 10 jam 30 minit dan kami selamat sampai jam 6.30 pagi waktu Istanbul.

22 Mei 2013

Memandangkan percutian kami kali ini penghujung musim bunga, mama sampai di Istanbul walaupun jam 6.30 pagi cuaca telah terang benderang seperti jam 8.00 pagi. Kami dibawa ke Hotel Balin yang telah dibooking awal melalui Internet. Betullah seperti comment yang mama baca, petugas hotel semuanya helpful dan kami dibenarkan memasuki bilik jam 9.00 pagi walaupun sepatutnya masa check-in jam 2.00 petang. Kedudukan hotel ini sangatlah bersesuaian sekiranya setiap hari kita ingin menjamu mata di Grand Bazar kerana jaraknya hanya 250 meter. Mama sangat bernasib baik dan amat berpuas hati dengan facilities dan kedudukan hotel yang berhampiran dengan Grand Bazar dan tram stesen yang menghubungkan penumpang untuk pergi ke tempat-tempat lain. Sederet dengan hotel kami adalah Hotel Sarajevo dan Hotel  Bergama. Sekiranya ada yang berminat bolehlah melayari laman web terus ke SINI ......



Hotel Balin dan sebelahnya Hotel Bergama



Lobby Hotel

Di sepanjang jalan keluar dari hotel ke Grand Bazaar terdapat juga kedai-kedai yang menjual handbag, baju-baju dan lain-lain, jika tak kuat iman memang boleh habis RM di sini.


Kedai di sepanjang lorong keluar dari Hotel


kedai yang menjual handbag

Lagi clutch

Jam 10.00 pagi bermulalah ekspedisi pertama mama menjelajah Grand Bazaar. Grand Bazaar ini adalah merupakan tempat membeli belah yang mempunyai hampir 4,000 lot-lot kedai yang menjual barangan-barangan pakaian dari kulit, carpet buatan tangan dan sejadah, hiasan-hiasan lampu, tudung, cenderamata seperti key chain, magnet fridege dan lain-lain. Walaupun berada di sini selama 5 hari, kami tidaklah masuk kesemua lorong di dalamnya kerana kebanyakan barang yang dijual adalah sama saja. Kebanyakan dari penjual mengenali kami dari Malaysia dan perkataan yang kerap terkeluar daripada mereka adalah "apa khabar, dari Malaysia, Malaysia bagus" "murah, murah" dan memujuk kami ke dalam dan kesemua peniaga akan offer kami kopi atau epal tea yang diisi dalam gelas kecil untuk tiga kali tegukan saja dah habis. Satu tip yang mama nak kongsi untuk dapat harga yang memang berbaloi, pergilah awal pagi sebab mereka akan cuba menjual kerana mereka percaya jualan pertama adalah pembuka rezeki. Kelakarnya ada juga penjual yang mencium wang yang kita beri jika kita adalah pembeli pertama mereka. Di sini bolehlah menawar harga sehingga ke tahap yang memang memeranjatkan. Contoh sehelai baju sejuk wanita harga yang diletak pada mulanya 300 Euro boleh diturunkan sehingga 400 lira.

Sebelum ke Istanbul mama tidaklah menukar wang Lira, USD atau Euro di Malaysia kerana harga yang agak tinggi iaitu antara RM2.20/2.00 bersamaan dengan 1 Lira. Semasa kunjungan pertama dahulu wang lira mama masih tersimpan dan mama dapati banyak money changer di sekitar Grand Bazaar yang menerima RM Malaysia. Pertukaran di Istanbul adalah RM100 bersamaan dengan Lira 53.00 iaitu RM1.88 bagi 1 Lira. Pengalaman membeli belah disekitar Grand Bazaar ni kadang-kadang melucukan juga kerana mereka berebut-rebut untuk menarik perhatian pelanggan bagi memasuki kedai mereka walaupun tidak membeli apa-apa. Yang tak seronoknya semasa perjalanan pulang ke Hotel kami telah ditangkap oleh penjual-penjual jalanan yang memujuk kami membeli barangan mereka. Disebabkan kasihan kami membelilah barangan dengan niat untuk bersedekah.

23 Mei 2013

Memandangkan penghujung Musim Bunga waktu subuh di Istanbul adalah jam 3.45 pagi dan waktu Syuruk jam 5.40 pagi. Rasanya terlalu panjang waktu siang kerana waktu Maghribnya jam 8.30 malam dan satu perkara yang tidak mengembirakan kami kerana  tiada tanda Qiblat di hotel yang kami duduki. Selepas breakfast di hotel yang bermula jam 8.00 hingga 10.00 pagi mama memulakan ekspedisi ke dua iaitu mencari Spice Bazaar atau dikenali juga sebagai Egyptian Bazaar. Staf-staf hotel yang sedia membantu menyuruh kami menaiki tram dari Benyazit (terlalu dekat dengan Balin Hotel) dan turun di stesen Eminonu.  Stesen tram ini samalah seperti stesen komuter di Malaysia dan tiket yang dikenakan adalah sebanyak 3 Lira tidak kira sama ada perjalanan jauh atau dekat yang pasti bila keluar dari stesen untuk ke satu stesen lain kenalah bayar semula 3 lira. Bagusnya tram di sini waktu hari bekerja sebelah pagi dan petang kita tidak perlu menunggu lama kerana setiap 5 minit akan ada tram yang lain. 



Laluan Tram


Stesen Tram Beyazit menuju ke Eminonu

Keadaan Stesen tram di Beyazit

Untuk mencari Spice Bazaar ini tidaklah sukar, kita boleh naik di mana-mana stesen tram tetapi yang penting mesti turun di stesen tram Eminonu dan sekiranya tidak pasti bolehlah bertanya petugas disitu. Sebelum sampai ke Bazaar ini kami melalui dulu Masjid Eminonu yang dibina pada tahun 1597. Spice Bazaar atau dikenali juga dengan nama Egyptian Bazaar yang dibina pada tahun 1664 dan di dalamnya terdapat lot-lot kedai  cuma jumlahnya tidaklah terlalu banyak seperti di Grand Bazaar. Dari segi harga di sini lebih murah berbanding dengan harga di Grand Bazaar. Di sebelah luar bangunan Bazaar juga terdapat pasar terbuka. Bazaar ini menjual rempah, buah-buahan kering, kacang, keju, dan yang paling banyak adalah Lokum (Turkey Delight). Bazaar ini dibuka 7 hari seminggu dan pada musim panas ini dapatlah mama membeli strawberry dan buah ceri dengan harga yang sangat murah iaitu 12 Lira sekilogram.

Jika rajin bolehlah juga berjalan di lorong Hasırcılar Caddesi iaitu jalan belakang yang agak sempit dari Bazaar yang menjual pelbagai rempah, makanan ringan dan peralatan rumah.



Masjid Eminonu bersebelahan dengan Spice Bazaar


Spice Bazaar


barangan cenderamata

kedai yang menjual kacang dan rempah-rempah


Pelbagai tea


Manisan yang dipanggil Lokum (Turkey Delight )


Buah-buahan yang terlalu murah harganya

Di lorong belakang dan kanan Spice Bazaar

Kami menunggu hingga waktu solat Zohor untuk menunaikan solat di Masjid Eminonu ni. Di Istanbul ni terdapat ribuan masjid yang dibina semasa zaman Kesultanan Ottomaniah dan reka bentuknya adalah hampir sama antara satu dengan yang lain. Di setengah-setengah tempat jarak masjid tidak sampai satu kilometer. Terasa sangat sedih bila mengingatkan betapa gemilangnya Islam semasa zaman Uthmaniyyah tetapi bertukar setelah diambil oleh Mustafa Kamal Ataturk. Apabila azan berkumandang hanya segelintir sahaja yang menunaikan solat.    



Bersolat di Masjid Eminonu



Bersambung di entry seterusnya .......

2 comments:

  1. Assalam mama. Aritu kami sempat dibawa ke spice bazaar ni tp msa diberi terhad so x sempat beli sgt pun. Beli kcg2, tshirt dan lokum je. Huhu. kat grand bazaar pulak spend msa dlm 2 jam lbih. Tp rsa x puas jln dlm tu terlalu byk kedainya dan buat kami jd rmbng mata

    ReplyDelete
    Replies
    1. waalaikum salam, mesti seronokkan bercuti di sana, Mama setuju jika kita ikut pakej memang masa yang diperuntukkan hanya 2 jam saja untuk di grand bazaar, memang tak sempat nak beli belah. Mana bimbang sesat, nak pilih barang lagi dan nak kejar waktu yang diberi. Itu lah sebab mama suka pergi sendiri, lagi seronok. Rasanya tahun hadapan jika ada rezeki, Insya-Allah mama akan pergi bercuti dengan husband sekali lagi, tanpa bantuan travel dan kali ni selain dari Istanbul mama nak pergi tempat2 yang tak termasuk pakej lawatan yang disediakan. Kadang-kadang, bila pergi sendiri, boleh saja jika nak ambil pakej di sana sebab lagi murah. Jika nak join kami, bolehlah nanti mama beri e-mel.

      Delete

Review: Adina Apartment Hotel Melbourne

Assalamualaikum! Just a short and simple review after long silence. Cleanliness: Since we took an apartment with kitchen facilit...