السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته
01.11.2011
Bertemu semula di hari-hari terakhir percutian mama dan keluarga ke Turki. Rasanya cukup sukar mama nak habiskan coretan ini kerana kesibukan tugas, walaupun telah berpencen. Kami sampai di Kota Istanbul dari Ankara hampir waktu tengah hari kerana kesesakan jalan raya. Sama juga keadaan bandarnya seperti Kuala Lumpur yang sentiasa penuh dengan kenderaan. Selepas makan tengah hari yang tidaklah semewah semasa mama sampai, kami dibawa ke Hagia Sophia sebuah musium yang asalnya adalah gereja yang dibina di zaman Constantinople. Kemudian pada tahun 1453, Constantinople ditawan oleh Turki Uthmaniyyah dan di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Al-Fatih gereja ni dijadikan masjid. Ciri-ciri Islam seperti mihrab, ayat-ayat suci Al-Quran dan empat menara telah ditambah. Di zaman pemerintahan Kamal Artaturk beliau mengarahkan supaya bangunan ni ditukar kepada muzium sehinggalah ke hari ini.
Muzium Hagia Sophia
Mama kemudiannya beredar pula ke Masjid Sultan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Masjid Biru kerana tile biru yang digunakan didinding dan didalamnya. Masjid ni mempunyai 6 menara yang mempunyai reka bentuk yang unik. Bahagian dalam masjid memang cantik dengan karpet berwarna merah. Tulisan Khat ayat-ayat Quran menghiasi setiap penjuru masjid. Sempatlah juga mama dan ahli rombongan mengerjakan solat di dalam masjid tersebut. Tempat mengambil wudhunya terletak agak jauh juga dari masjid dan mama difahamkan tiada air panas disediakan walaupun musim winter. Tidak seperti lawatan mama ke Beijing dulu bila musim winter disediakan air panas bagi keperluan wudhu.
Pintu masuk ke Masjid
Ruang solat untuk lelaki yang luas
Tempat ambil wudhu lelaki, tiada air panas disini, jika winter tentu airnya terlalu dingin
Di salah satu pintu masuk masjid
Di satu ruang dengan carpet berwarna merah yang lembut dan berkualiti
Photo dari luar masjid
Lawatan terakhir mama pada hari ini adalah Grand Bazar iaitu tempat membeli belah yang amat terkenal di Turki di mana terdapat lebih kurang 4000 kedai di dalamnya dan terdapat 22 pintu masuk. Jika tak ingat pintu mana kita masuk memang boleh sesat nak cari pintu keluar sebab semua macam sama. Oleh itu mama satu keluarga tidak pergi jauh ke dalam hanya beli souvenir di pintu masuk takut tak dapat cari pintu keluar yang sama. Jika dah kehabisan duit lira bolehlah tukar di hadapan pintu masuk banyak terdapat money changer di sini di mana selain duit US, duit Malaysia juga diterima. Pada mama tidaklah terlalu murah barang di sini jika kita tak pandai tawar menawar. Tapi yang paling jadi kenangan, mama dihadiahkan sejadah oleh tuan punya kedai yang menjual bermacam kualiti carpet dan sejadah dari harga ribuan ringgit hingga puluhan ringgit. Memandangkan masa yang diberi kepada kami hanya lebih kurang dua jam mama dan anak2 tidak sempat pun untuk bershopping. Oleh itu mama akan bercerita lebih detail di pengembaraan mama dan husband nanti kerana kami akan pergi berdua saja tanpa anak-anak mulai 22 hingga 27 Mei 2013 ni ........
On the way to Grand Bazaar
Grand Bazaar
Gerai yang menjual hiasan lampu
02.11.2011
Hari ini merupakan hari terakhir mama dan rombongan di Turki. Sebelah pagi kami dibawa menaiki Cruise menyusuri Selat Bosphorus yang menghubungkan Laut Marmara dengan Laut Hitam. Di sepanjang perjalanan dapatlah melihat Istana Muzium Seni Moden, beberapa buah istana peninggalan Uthmaniyah dan rumah-rumah mewah di pinggir selat. Di dalam kapal tersebut sekiranya teringin hendak minum disediakan teh dan kopi dengan harga 4L.
Cruise yang menunggu para pelancong
Gambar bahagian atas deck, masa ni dah agak sejuk dan berangin, hanya anak-anak saja yang menikmati pemandangan dari atas ni.
Tempat beriadah team bola sepak kebangsaan Turki
Gambar Masjid biru dari jeti
Selesai menyusuri Selat Bosphorus mama di bawa menziarahi Topkapi Palace yang pembinaannya dimulakan pada era Sultan Muhammad Al-Fatih. Sayangnya gambar tidak dibenarkan untuk dirakam semasa dalam museum ini. Semua barang-barang yang dipamerkan amatlah berharga dan tidak dapat dicari di tempat-tempat lain terutama yang melibatkan peninggalan Rasulullah S.A.W dan para sahabat. Subhanallah alangkah bertuahnya kami dapat melihat semua peninggalan yang amat berharga ini. Terasa sedih dan sayu melihat semua peninggalan ni walaupun telah beribu tahun. Lukisan-lukisan yang menceritakan kehidupan khalifah Islam Uthmaniyah. Barang-barang seperti baju, pedang yang digunakan oleh para sahabat-sahabat semuanya dijaga dengan rapi.
Yang tidak dapat mama lupakan dan paling terasa di hati bila melihat janggut Nabi, pedang yang diguna oleh beliau dan serban yang dipakai oleh Nabi juga masih tersimpan di bekas kaca. Terdapat juga baju peninggalan puteri kesayangan Rasulullah Saidatina Fatimah Az-Zahra, terasa terlalu insaf dan rendahnya diri ini bila melihat baju yang dipakai oleh Saidatina Fatimah yang terdapat kesan tampal dan dijahit. Ya Allah ampunilah segala keterlanjuran yang telah kulakukan selama ini.....
Topkapi Palace
Pintu masuk ke Topkapi Palace
Bangunan yang diukir indah dengan ayat-ayat Al-Quran dan seni bina yang indah menyimpan khazanah Nabi Muhamad S.A.W dan para sahabat.
Salah satu bangunan di Topkapi Palace
View dari Topkapi Palace - di belakang istana yang menghadap Selat Bosphorus
Jam 10.00 pagi mama dan rombongan meninggalkan Topkapi Palace dan bertolak ke Airport kerana penerbangan ke Kuala Lumpur adalah jam 3.10 petang. Alhamdulillah mama sekeluarga selamat sampai di KLIA pukul 7.00 pagi.
Sepanjang perjalanan ni terlalu banyak yang mama perolehi dan terkesan di hati, betapa kerdilnya kita sebagai hamba-Nya jika dibandingkan dengan apa yang Allah cipta di bumi ini.
'' Ya Allah, janganlah Engkau hukum aku dengan sebab pujian yang mereka ucapkan, dan ampunilah aku dari perbuatan dosa yang tidak mereka ketahui (dan jadikanlah aku lebih baik dari apa yang mereka sangka)'' - HR. Bukhari
No comments:
Post a Comment