Friday, 24 May 2013

Bersujud di Tanah Haram: Part 1


السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته


Diriwayatkan dari Rasulullah S.A.W, bahawa baginda bersabda yang berbunyi:

"Barangsiapa yang dibukakan untuknya pintu kebaikan, maka hendaklah ia mencapainya, kerana sesungguhnya ia tidak mengetahui bila pintu itu akan tertutup baginya."
                                                                                                              (Hadis Marfu')

Alhamdulillah, mama masih diberi kesempatan oleh Allah untuk berkongsi sedikit pengalaman yang dikurniakan oleh-Nya. Semuanya atas perancangan Allah yang Maha mendengar dan Maha memperkenankan doa hamba-hambanya yang sentiasa memohon kepadaNya. Oleh itu sekiranya terasa di hati dan jiwa untuk mengerjakan Haji atau Umrah berdoalah sepenuh hati dan berbaik sangka dengan Allah kerana Allah akan mengabulkan doa hamba-Nya. Pada 24 April 2013 hingga 5 May 2013, mama dan anak-anak diberi lagi peluang oleh Allah menjadi tetamu-Nya untuk mengerjakan Umrah. Terkabul doa mama semasa tawaf wida tahun lepas (2012) supaya mama dan anak-anak dapat menunaikan umrah pada tahun ini. Dengan syarikat yang sama iaitu Fayrooz Travel mama seramai 8 orang ahli keluarga mendaftar di saat akhir hanya lebih kurang 4 minggu sebelum tarikh penerbangan, memang Allah mempermudahkan kami.

24 April 2013

Mama dan ahli rombongan seramai 25 orang berkumpul di KLIA pada jam 11.00 pagi. Pemergian tahun ini selain dari mama, suami dan anak-anak dituruti juga oleh ibu, adik dan kakak ipar mama. Perjalanan dengan Malaysia Airlines mengambil masa hampir 9 jam dan selamat sampai di Jeddah Airport pukul 10.00 malam. Dugaan pertama mama kali ini disebabkan mama membawa wheel chair untuk ibu, mama dan anak lelaki dihantar ke Jeddah International Airport sedangkan ahli rombongan lain di kumpulkan di terminal haji. Hampir 2 jam kami terpisah yang menyebabkan sebilangan ahli rombongan, merasa kurang senang atas kejadian ini.

Kami kemudiannya bertolak ke Madinah dengan menaiki bas dengan bimbingan Ustaz Muhri sebagai Mutawif kami dan seperti biasa apabila perjalanan yang memakan masa hampir 5 jam, kami akan berhenti untuk rehat dan makan malam di sebuah restoran yang telah disediakan oleh travel. Kami makan nasi briyani arab dalam dulang besar yang dikongsi seramai 4 orang dan yang lucunya di Malaysia mama dan anak-anak tak makan ikan darat tapi kali ni habis licin satu dulang. Memasuki kota Madinah kami dipimpin doa oleh ustaz yang bermaksud "Wahai Allah, Tuhanku, negeri ini adalah tanah haram Rasul Muhamad  S.A.W, maka jadikan lah ia penjaga bagiku dari neraka, aman dari seksa dan penghisaban yang buruk di hari kemudian." Kami sampai di Madinah seiring dengan berkumandangnya azan subuh.

Di Madinah, kami menetap di Hotel Mukhtara International dan jarak antara hotel ke Masjid Nabawi adalah lebih kurang 200 meter. Agak selesa bagi mama sekeluarga kerana jarak yang tidak terlalu jauh memandangkan kesihatan dan faktor umur kadang-kadang membataskan pergerakan kami. Alhamdulillah, mama dan keluarga dipermudahkan dan diberi kekuatan sepanjang berada di Tanah Suci.

25 April 2013.

Sebelah pagi jemaah semua dibawa ke Masjid Nabawi untuk menziarahi Makam Rasul, para sahabat, Raudhah dan perkuburan Baqi' yang menempatkan makam Saidina Uthman, kebanyakan dari isteri-isteri nabi, putera-puteri Rasulullah S.A.W dan para sahabat. Bagi jemaah wanita pula kami tidaklah terus ke Makam Nabi kerana jadual untuk kami dibuat jam 9.00 malam dan jemaah wanita juga tidak dibenarkan memasuki perkuburan Baqi' tersebut. Mama nak ceritakan pengalaman untuk menziarahi makam Nabi ini bukanlah suatu yang mudah kerana semua jemaah di seluruh dunia yang menziarahi Madinah semuanya akan mempunyai tujuan yang sama selain bersolat di Masjid Nabawi mesti akan mengunjungi makam Nabi Muhamad S.A.W. Kebiasaannya jemaah perempuan akan diasingkan ikut negara-negara dan bagi jemaah Malaysia akan dikumpulkan bersama jemaah Asia dari Singapura, Brunei, Indonesia dan Thailand. Masa yang diberi bagi setiap jemaah semasa di Makam dan mengerjakan solat sunat di Raudhah adalah lebih kurang 10 minit sahaja atau mungkin lebih sekejap. Janganlah kita nak marah sekiranya masa kita sujud dilangkah atau dilanggar kepala kita oleh jemaah lain. Mama tak dapat nak ceritakan betapa sayunya semasa menziarahi makam Nabi S.A.W memang tanpa dipaksa akan keluarlah air mata kita mengenangkan segala kesukaran yang dihadapi oleh beliau dalam menyiarkan Islam sehingga dimakamkan jauh dari tanah kelahirannya di Mekah. Banyaklah berselawat ke atas junjungan Nabi Muhamad S.A.W di mana saja kita berada.  

Perkuburan Baqi adalah tempat yang harus jemaah lawati untuk kita mengenang kembali perjuangan sahabat-sahabat Nabi. Betapa beruntungnya mereka yang meninggal dan dikebumikan di Perkuburan Baqi. Rasulullah SAW bersabda, "Aku adalah orang pertama yang keluar daripada Bumi (ketika hari kebangkitan), kemudian Abu Bakar, kemudian Umar, kemudian giliran penghuni Baqi' yang akan berhimpun bersamaku. Kemudian aku menunggu penduduk Mekah sehingga penuh di antara dua Masjidil Haram". Nak tahu bagaimana pengkebumian dijalankan di Perkuburan Baqi', bolehlah pergi ke sini. Kadang-kadang terdetik di hati, beruntungnya lelaki dapat masuk ke Perkuburan Baqi. Jemaah wanita tidak dibenarkan melawat Perkuburan Baqi, mungkin anda boleh mengagak sebabnya. Apapun, yang penting, doa dan salam yang kita sampaikan kepada ahli-ahli kubur di Perkuburan Baqi. Keadaan kuburan di sini tidak sama dengan kuburan di Malaysia. Kuburnya hanya diletakkan batu sebagai tanda tanpa ada nama supaya tiada aktiviti-aktiviti bidaah dijalankan. Jika nak mengetahui lebih lanjut mengenai makam-makam di Perkuburan Baqi', sila baca di sini.

26 April 2013.

Seperti biasa selepas solat subuh, aktiviti seterusnya jemaah akan dibawa menziarahi tempat bersejarah di sekitar Kota Madinah, antara tempat yang dilawati adalah Lapangan Perang Uhud atau Jabal Uhud, Masjid Qiblatain atau masjid dua qiblat di mana Nabi Muhammad S.A.W mendapat wahyu untuk menukar arah qiblat dari menghadap ke Masjidil Aqsa ke Masjidil Haram, Masjid Quba' (yang merupakan masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah S.A.W setelah berhijrah dari Mekah ke Madinah) dan Masjid Tujuh. Biasanya jika berada di Madinah jemaah akan dibawa ke ladang kurma untuk membeli buah kurma dan product dari kurma. Jika nak beli Kurma Ajwa, belilah di Madinah kerana lebih murah dan banyak pilihan berbanding di Mekah. Setelah beberapa kali mama ke tanah suci ini, pada mama harga di ladang kurma tidaklah murah sangat.  Jika kita rajin berjalan, banyak kedai-kedai di hotel-hotel yang menjual product kurma dengan harga yang lebih murah. Hari ni merupakan hari Jumaat dan mama sekeluarga begitu teruja kerana dapat menunaikan solat Jumaat pertama di Masjid Nabawi yang tidak dapat dilaksanakan di Malaysia.

Jabal Uhud ni adalah bukit yang dijanjikan di Syurga dan tempat terjadinya Perang Uhud. Ya Allah, memang luas Jabal Uhud ni. Bayangkan bagaimana Perang Uhud terjadi, bayangkan betapa ramainya yang terkorban di medan Jabal Uhud. Dari Anas bin Malik r.a, Rasulullah bersabda, "Sesungguhnya Uhud adalah satu gunung yang mencintai kami dan kami juga mencintainya". Sebuah riwayat juga ada menceritakan, Rasulullah S.A.W pernah mendaki puncak Uhud bersama Saidina Abu Bakar r.a, Saidina Umar r.a dan Saidina Usman r.a. Setelah berada di puncak, terasa Jabal Uhud bergegar. Rasulullah kemudiannya menghentakkan kakinya dan bersabda, "Tenanglah kamu Uhud. Di atasmu sekarang adalah Rasulullah dan orang yang selalu membenarkannya dan dua orang yang akan mati syahid". Dan Uhud berhenti bergegar kerana tanda kecintaan dan kegembiraan Uhud menyambut Rasulullah S.A.W.

Masjid Nabawi

Jabal Uhud

Perkuburan Baqi'

Nampak tak kepulan awan tu?

Gambar terakhir sewaktu kami menziarahi Masjid Nabawi buat pertama kali dan anda nampak tak apa yang kami nampak? :)

27 April 2013

Hari ni merupakan hari terakhir di kota Madinah dan mama sekeluarga akan mengucapkan selamat tinggal kepada baginda S.A.W dan seperti biasa mama akan berdoa ini bukanlah kali terakhir mama menziarahinya. Insya-Allah jika dipanjangkan umur, kesihatan yang mengizinkan dan ada rezeki mama akan datang lagi ke sini. Jemaah semua berangkat ke Mekah untuk menunaikan Umrah dan semua jemaah berhenti di Bir Ali untuk bermiqat dan berniat umrah. Bermulalah pantang larang dalam ihram dan kami semua bertalbiah di dalam bas menyambut panggilanMu Ya Allah. Kami meneruskan perjalanan dan berhenti di satu tempat (mama terlupa nama tempatnya) untuk bersolat dan makan malam. Apa yang terkilan sangat di hati mama kerana keadaan tandas dan tempat wudhu yang kotor, terfikir juga mama Islam amat mementingkan kebersihan tetapi kenapa umatnya tidak mempunyai sifat tersebut. Jika disediakan berus dan sabun pencuci sanggup mama membersihkan tandas yang hendak masuk buang air pun kena fikir 10 kali  kecuali jika terlalu terdesak.

Kami sampai di Kota Mekah hampir jam 10.00 malam, dan Ustaz Muhri, Mutawif kami membaca doa ketika memasuki ke Tanah Haram Mekah yang bermaksud  "Ya Allah Tanah Haram ini Tanah HaramMu dan Negeri ini Negeri Mu dan keamanan ini keamananMu maka haramkanlah aku daripada api neraka dan amankan aku di hari Engkau membangikitkan hamba-hambaMu".

Hampir jam 11.00 malam mama dan jemaah yang lain mula keluar dari hotel menuju ke Masjidil Haram untuk menunaikan ibadah Umrah. Apabila memasuki ke dalam Masjid menuju ke Kaabah, satu perasaan yang tidak dapat digambar dan diperincikan hanya insan yang dapat melihat dengan pandangan mata dan hati saja yang dapat merasai apa yang mama rasa. Walaupun telah menziarahinya beberapa kali,  yang pertama sekali mesti terasa terlalu kerdilnya kita sebagai insan yang sentiasa dipenuhi dengan dosa. Mutawif kami, Ustaz Muhri membimbing semua jemaah memulai dengan rukun tawaf sebanyak tujuh pusingan, menunaikan solat sunat tawaf di belakang Makam Ibrahim, minum air zam-zam, melakukan rukun Sa'i dari bukit Safa dan tamat di bukit Marwah sebanyak 7 kali dan akhirnya bertahallul sekurang-kurangnya menggunting 7 helai rambut. Mama amat bersyukur walaupun kurang sihat masih diberi kekuatan oleh Allah sehingga selesai menunaikan ibadah ni. Yang paling mama terkesan sekali apabila melakukan rukun Sa'i di mana tergambar bagaimana sukarnya Siti Hajar mencari air bagi anaknya Nabi Ismail a.s yang menangis kelaparan kerana tiada air dan makanan. Dengan keadaan muka bumi yang berpasir, di bawah panas terik matahari berlari-berlari mencari air untuk anaknya sebanyak 7 kali dari Bukit Safa ke Bukit Marwah yang jaraknya kira-kira lima ratus meter, itulah perasaan sayang seorang ibu kepada anaknya.  Keadaan begitu tidak dapat kita rasakan lagi sekarang kerana laluan tersebut telah dipasang tile yang cantik dan dipasang penghawa dingin untuk keselesaan jemaah. Keadaan di Masjidil Haram ni sentiasa ada perubahan. Malah, dengan jangka masa setahun pun sudah banyak perubahan yang berlaku di Masjidil Haram. Bagi mereka yang pernah menjadi Tetamu-Nya suatu masa dahulu, mungkin akan rindu dengan suasana di Mekah yang memang amat berlainan kini. 


Masjidil Haram

Bersambung ke hari-hari berikutnya.........

No comments:

Post a Comment

Review: Adina Apartment Hotel Melbourne

Assalamualaikum! Just a short and simple review after long silence. Cleanliness: Since we took an apartment with kitchen facilit...